Perjalanan ke akhirat Kepercayaan akhirat Mesir Purba

Af atau Afu (biasanya dikenali sebagai Afu-Ra), bentuk Ra berkepala biri-biri mengembara ke Duat di Sungai Nil alam ghaib (12 jam malam dan alam barzakh) di atas tongkang Mesektet bersama-sama dengan Sia (kiri dan depan tongkang) dan Heka (kanan dan belakang tongkang), dikelilingi oleh dewa ular pelindung, Mehen

Orang Mesir purba mempunyai teori tentang perjalanan ke akhirat, yang mereka berlaku dalam beberapa peringkat. Dalam fasa pertama, mereka percaya ada pengangkutan yang akan bawa jiwa mereka ke hidup abadi. Setiap orang perlu melalui pelbagai laluan tetapi mereka tidak diberi peluang untuk memilihnya; ia bergantung pada status mereka. Perkara yang paling penting dalam menentukan laluan mereka adalah betapa pentingnya dia dalam komuniti. Walaupun orang berbeza, kepercayaan mereka tentang hidup selepas mati datang daripada ideologi agama. Contohnya, orang dulu-dulu menggunakan agama untuk menjelaskan banyak fenomena seharian, sebelum sains bertambah maju. Bayangkan, peredaran matahari belum ada penjelasan jadi mereka mencipta cerita agama untuk menjawab soalan begitu. Kerana peristiwa alam dijelaskan oleh agama, aspek-aspek agama lain pula mula mengikut pola-pola yang wujud dalam hidup dan alam semula jadi. Contohnya, mereka menyangka perjalanan ke alam ghaib, tempat orang-orang mati pergi, bermula pada waktu malam. Apabila terbitnya matahari, hari baharu bukan sahaja tiba tetapi kehidupan baharu juga.[23]

Kapal untuk ke alam ghaib adalah khas untuk mendiang firaun. Orang Mesir percaya dewa matahari Mesir, Ra, pergi ke alam ghaib dengan kapal ketika matahari terbenam. Untuk meniru ekspedisi harian Ra, orang Mesir purba membina kapal model, dalam pelbagai saiz, yang akan dikebumikan dengan firaun. Contohnya, di sebelah Piramid Khufu penyelidik menemui kapal Khufu, sebuah kapal sebesar kapal biasa. Ini bukan sahaja menunjukkan kesetiaan kuat orang Mesir kepada pemimpin mereka tetapi dedikasi mereka untuk memastikan hidup abadi untuk semua. Senang kata, banyak apa yang si mati perlu sampai ke alam baqa bergantung pada yang masih hidup. Untuk memastikan firaun tiba ke destinasi terakhirnya, rakyatnya membina pelbagai jenis perahu untuk keberangkatannya. Ini bermakna masyarakat perlu bersatu dan tolong-menolong, atau idea mereka untuk hidup selama-lamanya dan kepercayaan mereka akan berakhir. Maka, membantu orang lain mencapai keabadian adalah penting dalam budaya Mesir, dibuktikan dengan perahu-perahu hebat yang dikebumikan dengan pemerintah mereka.[24]

Satu lagi cara seseorang boleh masuk ke dalam alam baqa adalah dengan keranda. Raja kadangkala juga menggunakan keranda—atau jika mereka tidak beriman kepada menggunakan kapal untuk ke alam baqa—tetapi rakyat biasa tidak ada pilihan. Jadi, kaedah ini lebih biasa dan membayangkan ada cara lain dan lebih biasa untuk sampai ke sana. Perbezaannya adalah sementara perahu membawa si mati ke dewa matahari Ra, keranda dipercayai akan membawa mereka ke dewi langit Nut. Setiap keranda ada hubungan dengan orang yang di dalamnya. Dalam kata lain, setiap keranda dibuat mengikut pemahaman si mati tentang akhirat, tetapi semuanya bertujuan untuk membantu si mati mencapai keabadian.[24]

Ani dan isterinya menghadap 'tujuh gerbang Rumah Osiris'. Di bawah, mereka menemui sepuluh daripada 21 'lawang misteri Rumah Osiris di Padang Mensiang'. Semua gerbang dijaga oleh dewa-dewi khas.[25]

Perjalanan ke akhirat tidak mudah. Ada pelbagai gerbang, pintu dan tonggak pedaka di Duat,[26] dan si mati mesti melaluinya. Gerbang-gerbang ini ada dewa penjaganya, kadangkala lebih daripada 1,000 dewa menjaganya,[27] menurut teks-teks pengebumian purba. Setiap pintu gerbang dikawal oleh seorang dewa kecil, biasanya yang nampak seperti separa manusia dan separa haiwan dengan pisau yang sangat besar.[27] Dewa-dewa penjaga ini hanya memberikan laluan kepada si mati yang dapat sebut nama rahsia dewa itu, seperti "kata laluan".[27] Disebabkan tu, si mati akan dikebumikan dengan lembaran yang mengandungi nama dewa-dewi ini. Banyak dewa ini diberi nama yang ganas dan menyebutkan kuasa menakutkan mereka. Nama-nama dewa ini boleh jadi menggerunkan seperti "Dia yang menari dalam darah" dan "Dewi Kemarahan", atau tidak berbahaya seperti "Dewi Mazbah".

Bahagian Kitab Orang Mati yang menunjukkan Timbangan Jantung di Duat. Osiris digambarkan bersemayam di dalam kuilnya

Orang Mesir Purba menganggap Wepwawet sebagai sebagai pembuka jalan ke dan melalui Duat, membantu roh orang mati. Walau bagaimanapun, tidak semua yang meninggal dunia berpeluang untuk pergi ke alam baqa. Disebabkan yang masih hidup yang tentukan jika si mati dapat pergi ke akhirat, mereka juga berkuasa untuk menghalang si mati mencapai hidup abadi. Jadi, yang hidup boleh menghalang individu-individu yang tidak layak untuk hidup buat kali kedua. Cara yang paling terkenal termasuk pancung, yang apabila dibuat dipercayai akan membunuh orang itu buat "kali kedua". Kematian kedua dengan pacung dianggap akan menghancurkan peluang untuk hidup semula. Seperti yang dinyatakan dalam teks-teks Mesir, hal ini amat ditakuti tetapi ia kebanyakkannya berlaku kepada pemberontak atau penderhaka kepada raja. [28]